Gerai sayur terbakar angkara khianat

Kedai sayur dibakar guna pemetik api - Gambar sekadar hiasan.
Kedai sayur dibakar guna pemetik api - Gambar sekadar hiasan.
A
A
A

BACHOK - Sebuah gerai sayur di Pasar Awam Siti Aisyah, Pekan Jelawat, di sini, terbakar akibat perbuatan khianat oleh seorang lelaki pada Isnin.

Kejadian dilaporkan pemilik gerai berusia 47 tahun kepada pihak polis pada jam 7.31 petang.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kebakaran gerai tersebut berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan orang awam.

“Kebakaran berlaku di sebuah gerai sayur menyebabkan pemilik gerai membuat laporan kerana kebakaran dipercayai mempunyai unsur-unsur khianat.

“Pihak bomba yang tiba di tempat kejadian dapat memadamkan kebakaran itu dan dibantu oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil keterangan orang awam.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki kerana sebelum kejadian terdapat saksi awam yang melihat lelaki tersebut berlegar-legar dengan memegang pemetik api di kawasan kejadian.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan saksi-saksi bebas yang melihat kejadian ini,” ujar beliau.

Susulan itu, Mohamad Ismail bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas satu lelaki warga tempatan berusia 47 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, semakan rekod dan ujian saringan awal urin dilakukan terhadap suspek.

“Suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ialah negatif,” katanya.

Beliau memberitahu, siasatan bagaimanapun diteruskan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan juga denda,” kata Mohamad Ismail.