Perlu ada sistem kawal selia ekonomi gig - Aktivis

Jose Rizal ketika Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM): Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Jose Rizal ketika Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM): Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ekonomi gig memerlukan satu punca kuasa yang boleh menyelenggara keseluruhan ekosistem dalam industri berkenaan supaya segala permasalahan yang dihadapi menemui jalan penyelesaian.

Ketua Aktivis E-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, perkara itu perlu dilakukan segera bagi memastikan tiada berlakunya campur tangan pihak lain.

“Kalau kita lihat pelbagai kementerian ada membuat kajian berkenaan ekonomi gig, cuma ia tidak ada satu solusi yang dapat diketengahkan supaya perkara dan isu yang membelenggu dapat diselesaikan secara tuntas.

“Bukan itu sahaja, apabila tidak ada satu sistem atau majlis khusus yang boleh mengurus dan menyelia hal berkenaan, maka sehingga ke hari ini, masalah itu sampai kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk masuk campur dalam isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 407 yang bertajuk Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM): Untuk Siapa? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan dan Penganalisis Ekonomi, Dr Baayah Baba.

Mengulas lanjut, Rizal menjelaskan pihaknya peduli tentang sesiapa sahaja khususnya ahli politik yang mahu menjadikan isu ekonomi gig sebagai sebahagian daripada perjuangan.

Katanya, penglibatan mana-mana ahli politik bukan isu utama sebaliknya masalah berkaitan industri dapat diselesaikan dengan segera.

“Ini kerana isu berkenaan sudah terbelenggu begitu lama. Jadi bagi kita, perlu ada satu penyelesaian sama ada jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Oleh sebab itu, kita perlu teliti dan rangka sebaik mungkin agar tidak ada sesiapa yang tertinggal kerana ekonomi gig penting pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada masa sama, Rizal tidak menafikan bahawa penting untuk menetapkan harga lantai kerana segala kos operasi itu boleh diukur, namun ia juga perlu disusuli dengan penetapan harga syiling.

Beritahunya, penetapan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kewujudan pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan.