Pemandu Kancil maut dihempap kontena

Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dihempap sebuah kontena dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa di Klang pada Selasa.
Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dihempap sebuah kontena dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa di Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dihempap sebuah kontena dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa di sini pada Selasa.

Mangsa dipercayai memandu kereta jenis Perodua Kancil sebelum kereta itu terbabas lalu merempuh kontena dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 4.46 petang.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah kontena tanpa kepala yang dipercayai sedang memunggah barang ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa dipercayai tersepit akibat pelanggaran.

"Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.