Kematian bayi 11 bulan tiada unsur dera

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Christopher Patit
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Christopher Patit
A
A
A

MELAKA - Polis mengesahkan setakat ini tidak ada unsur penderaan atau pengabaian dalam kes bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia dalam jagaan pengasuh di Ayer Molek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya tidak menemukan kedua-dua unsur itu dalam siasatan yang dilakukan.

Bagaimanapun menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh hasil bedah siasat.

"Kes masih diklasifikasikan mati mengejut dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan termasuk terhadap pengasuh berusia 34 tahun itu, sehinggalah laporan penuh bedah siasat diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, pada Isnin.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Zaidah, 35, berkata, dia menghantar anaknya itu kira-kira jam 7.30 pagi ke rumah pengasuh tersebut yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Taman Desa Ayer Molek.

Bagaimanapun menurutnya, ketika sedang bekerja di Sungai Udang, dia kemudian dihubungi pengasuh yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.