RISDA perkasa usahawan wanita

Bantuan RM21 juta di Kelantan manfaat lebih 30,000 penerima

A
A
A

Barisan penerima yang mendapat bantuan RISDA di Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar, Paloh, Gua Musang.
Barisan penerima yang mendapat bantuan RISDA di Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar, Paloh, Gua Musang.

GUA MUSANG - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membantu usahawan bimbingannya di seluruh negara bagi meningkatkan pendapatan mereka menerusi Program Pembangunan Usahawan dan Agromakanan.

Usahawan bimbingannya, Siti Mastura Mohd Salleh, 31, yang mengusahakan produk makanan iaitu piza, kuih dan sambal penyet di Bandar Baharu Gua Musang menerima bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) berjumlah RM10,000 pada tahun 2018 bagi mengembangkan lagi perniagaannya.

Pemilik Sri Misma Enterprise turut menyediakan produk piza sedia makan dan sejuk beku itu seterusnya menerima bantuan pelabelan sebanyak RM5,000 (2018), RM20,000 pensijilan halal (2019), bantuan Groom Big RM50,000 daripada RISDA (2020) serta pembungkusan RM10,000 pada 2023.

No Image Caption

“Bantuan berupa aset mesin daripada RISDA ini memang sangat membantu kami sebagai usahawan piza untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2018,” katanya semasa ditemui di Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar, Paloh 2, di sini pada Ahad.

Bantuan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bantuan RISDA turut diberikan kepada pengusaha taska, Haslinda Mohd Salleh, 42, hingga berjaya membuka dua cawangan pusat asuhan kanak-kanak di Felda Chiku 6 dengan 35 yang berdaftar dan lapan kakitangan.

Pemengang Diploma Pendidikan dan Pengasuhan Kanak-kanak di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) ini menerima bantuan masing-masing RM10,000 di bawah AET pada tahun 2018 dan AET Nano (2021) yang sangat membantu melancarkan pengurusan taska terutama bagi peralatan kepada bayi serta kanak-kanak di pusat itu.

No Image Caption

“Saya mengusahakan taska sejak 2017 bermula dengan hanya tiga murid dan dengan bantuan RISDA, saya berjaya menaik taraf perusahaan ini kepada dua cawangan yang terletak di Chiku 3,” ujar Pembantu Pengurusan Murid Pra Sekolah dan anak peneroka Felda Chiku 6 ini.

Dalam majlis sama, pekebun kecil getah, Mohamad Ab Rahman, 63, berkata, menerima bantuan tanam semula pokok getah pada tahun 2022 di tanah yang berkeluasan 2.4 hektar di Sungai Terah dan amat menghargai bantuan itu.

“Sebagai pekebun kecil getah, saya sangat berterima kasih kepada RISDA kerana membantu pekebun kecil macam saya untuk meneruskan usaha menaman semula getah,” kata Mohamad.

Mereka yang turut menerima bantuan itu ialah penternak ikan air tawar jenis talapia dan keli dari Felda Perasu, Muhamad Badrohisam Deraman, 39, di bawah Program Agromakanan RISDA berjumlah RM100,000 dan Fauzianita Hashim, 42, bagi bantuan tanan semula getah di Panggung Lalat seluas 4.9 hektar yang ketika ini dalam proses penebangan pokok lama.

Keseluruhan bantuan Program Pembangunan RISDA negeri Kelantan berjumlah lebih RM21 juta yang bermula pada Januari hingga Julai 2023 dan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penerima.

Bantuan merangkumi Program Tanam Semula Getah (RM7 juta), Bantuan Program Skim Getah Matang (RM3 juta), Bantuan Program Khidmat Pengembangan (RM3.8 juta) dan Bantuan Program Prasarana Asas Pertanian (RM2.2 juta).

Turut diberikan, Bantuan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) (RM2.4 juta), Bantuan Program Pembangunan Usahawan (RM 594,000) dan Bantuan Program Agromakanan (RM2.7 juta).