Kedah paling panas berbanding negeri lain

Anwar menyampaikan bendera parti kepada Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar semasa gimik Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak baru-baru ini. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan bendera parti kepada Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar semasa gimik Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEMAKIN hampir tarikh pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos nanti, semakin ‘hangat’ suasana politik negara ketika ini.

Paling rancak dan sering menjadi tumpuan pastinya PRN Kedah yang mempertandingkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kedah ditadbir Perikatan Nasional (PN) di bawah teraju Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dari parti Pas.

Minggu lalu, negara digemparkan dengan penahanan Muhammad Sanusi di sebuah hotel pada jam tiga pagi.

Beliau kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Oktober nanti setelah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, ia dikatakan tidak mematahkan semangat Muhammad Sanusi yang masih berpeluang menjadi calon sekali gus meneruskan tugas sebagai Menteri Besar sekiranya PN berjaya mengekalkan kedudukan di Kedah.

Muhammad Sanusi dilihat seterusnya mengumumkan bakal meletakkan dua bekas kapten bola sepak Kedah sebagai calon PRN kali ini.

Mengikut desas-desus, Baddrol Baktiar dijangka bakal bertanding di DUN Bukit Selambau manakala Radhi Mat Din akan diletakkan di DUN Alor Mengkudu.

Tindakan itu kemungkinan salah satu strategi menarik sokongan lebih ramai anak muda bersama gabungan PN di Kedah.

Berdasarkan rekod lalu, bukan mudah untuk bintang bola sepak memenangi hati pengundi biarpun cukup dikenali dan mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan penyokong tempatan.

Radhi bukanlah baharu dalam dunia politik kerana pernah menjadi calon Pas bagi kerusi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, namun tewas kepada Datuk Mahfuz Omar.

Pada 12 Ogos nanti, Radhi dikhabarkan bakal bertemu seteru lama, Mahfuz Omar yang sudah diumumkan bertanding di DUN Alor Mengkudu.

Tidak kurang hebat dengan strategi, Barisan Nasional (BN) meletakkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai calon di DUN Pedu.

Ia menguatkan khabar angin bahawa bekas Menteri Besar Kedah itu kemungkinan dilantik semula ke jawatan sama sekiranya Pakatan Harapan (PH)-BN berjaya merampas Kedah.

Bekas Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu mengetuai calon BN untuk bertanding di 15 daripada 36 kerusi di DUN Kedah.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan 10 calon, Parti Amanah Negara (sembilan) dan selebihnya calon daripada DAP.

Bagaimanapun, senarai calon yang bertanding secara rasmi hanya akan diketahui pada hari penamaan calon pada 29 Julai ini.

Ketika ini, Kerajaan Perpaduan dilihat ‘agresif’ mahu menawan Kedah dengan pelbagai inisiatif yang akan dan sedang dilaksanakan.

Kehadiran pimpinan kanan pakatan PH-BN ke negeri Jelapang Padi itu juga dilihat salah satu cara mendekati rakyat.

Turut tidak ketinggalan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun padang hadir beberapa acara sebelum ini biarpun jadual perdana menteri itu sentiasa padat.

Pendekatan ini bertujuan menawan kembali Kedah menggunakan slogan ‘kalih bagi sama’.

Gandingan PH-BN dalam PRN kali ini adalah kali pertama bertanding sebagai rakan politik selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Sejauh mana ‘keserasian’ kedua-dua gabungan itu bakal terjawab pada keputusan PRN nanti.

Sebaliknya, gelombang hijau yang dilihat di kebanyakan lokasi penganjuran jelajah atau konvoi sudah pasti menunjukkan ‘signal’ jelas bukan mudah untuk PH-BN menawan hati rakyat Kedah.

Bagaimanapun, teka-teki mengenai siapa yang bakal menerajui negeri ini hanya terungkai pada malam 12 Ogos 2023.

Setiap individu berhak memilih mana-mana perjuangan politik, bebas menyokong serta memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk selagi tidak bertentangan dengan agama dan prinsip Rukun Negara.

Penulis juga berharap setiap parti politik yang bertanding pada PRN kali ini dapat bersaing secara sihat selain tidak menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Sebarang usaha menarik hati pengundi menggunakan isu 3R boleh menyebabkan masyarakat di negara ini berpecah-belah.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Kedah