Agong berkenan kurnia 300 individu darjah kebesaran, bintang dan pingat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pingat kebesaran kepada penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, pada Isnin. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pingat kebesaran kepada penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Mereka mendahului senarai 300 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Turut dikurniakan Darjah JMN ialah Ahli Dewan Negara, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, bekas Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Datuk Suhaimi Jusoh dan bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada bekas Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab, bekas atlet boling negara, Datuk Shalin Zulkifli dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Rospiagos Taha.

Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 60 individu antaranya Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Angkatan Tentera Darat, Datin Seri Ramlah Dawi dan Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Daripada keseluruhan 300 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan hari ini, 18 individu menerima Johan Mangku Negara (JMN), 27 penerima Johan Setia Mahkota (JSM), 60 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN) dan tiga penerima Kesatria Setia Diraja (KSD).

Sebanyak 86 individu lagi menerima Ahli Mangku Negara (AMN), 93 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 13 penerima Bentara Setia Diraja (BSD).

Hadir sama pada istiadat itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. - Bernama