JDT pamer peningkatan mendadak ranking dunia

Pasukan JDT dinobatkan juara Piala FA 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 pada perlawanan akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama.
Pasukan JDT dinobatkan juara Piala FA 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 pada perlawanan akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan peningkatan mendadak dalam ranking kelab bola sepak dunia dan kini berada di ranking ke-447 dunia.

Kedudukan tersebut dikongsikan laman analisis bola sepak, Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.

Juara sembilan kali Liga Super itu yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA mengumpul 72.7 mata untuk naik 126 anak tangga dari tangga ke-573 pada Februari lalu.

Ia turut menyaksikan kualiti JDT itu sememangnya bukan saingan pasukan Liga Super dengan tiada pasukan lain dari Malaysia yang berada dalam kedudukan 500 terbaik dunia.

Selangor yang menjadi pasukan kedua terbaik liga berada di kedudukan ke 2,148 dunia, Terengganu (ke-2,257), Kuala Lumpur City (2,964) dan Kedah Darul Aman FC (3,158).

Peningkatan itu juga membolehkan JDT mencapai aras baharu di peringkat Asia apabila menghuni kedudukan ke-31 manakala pasukan Arab Saudi, Al-Ittihad di posisi pertama.

Di peringkat ASEAN pula, JDT di tangga kedua di belakang Buriram United yang berada di tangga ke-418 dunia dengan 73.1 mata.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City berada di ranking teratas dengan mengumpul 100 mata diikuti kelab Jerman, Bayern Munich (95.9 mata) di tangga kedua dan Liverpool (93.8 mata) di kedudukan ketiga.