Perkeso: 162 majikan dikompaun gagal daftar perusahaan, pekerja

Hisham (kiri) menemui peniaga dan mengingatkan mereka supaya mendaftarkan perusahaan dan pekerja dengan Perkeso pada operasi sempena Pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang pada Isnin.

A
A
A

KUANTAN - Seramai 162 majikan dikesan gagal mendaftarkan perusahaan serta pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil pemeriksaan ke atas 567 premis dalam Ops Kesan di negeri ini bermula 2 Julai lalu sehingga Isnin ini.

Pengarah Perkeso Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada majikan terlibat mencecah lebih RM153,000.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerja 2017.

"Antara alasan diberikan majikan antaranya sibuk, tiada masa dan kurang maklumat.

"Alasan sedemikian tidak boleh diterima kerana notis peringatan telah dihantar kepada mereka pada Ops Bulan Pemutihan yang dijalankan Perkeso sepanjang Mei hingga Jun lalu," katanya.

Pemeriksaan dilakukan pegawai Perkeso bersama rakan strategik,KWSP dsn SSM ke atas sebuah kedai makan di sini pada operasi sempena Pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang pada Isnin.

Hisham berkata, majikan yang gagal mematuhi akta itu boleh dikompaun RM500 hingga RM4,000 mengikut jenis kesalahan.

"Sekiranya notis kompaun itu diabaikan, majikan terlibat boleh didakwa di mahkamah dengan hukuman denda RM10,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang secara bersepadu bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), 11 lokasi sekitar Kuantan telah diperiksa.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 108 premis diperiksa dengan 33 majikan dikenakan kompaun dengan nilai RM29,500.

"Operasi ini akan diteruskan mengikut jadual kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh negeri bagi memastikan majikan ingkar tidak terlepas daripada tindakan," katanya.

Hisham (depan,tiga dari kiri) menyempurnakan pelepasan kenderaan pasukan penguat kuasa yang menjalankan operasi sempena Pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang pada Isnin.
Hisham (depan,tiga dari kiri) menyempurnakan pelepasan kenderaan pasukan penguat kuasa yang menjalankan operasi sempena Pelancaran Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Pahang pada Isnin.

Tambah beliau, ops itu dilaksanakan untuk menyedarkan majikan supaya mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka dengan Perkeso.

"Walaupun hanya mempunyai seorang pekerja bergaji mereka perlu mendaftarkannya.

"Kita dapati ada majikan yang menggajikan anak dan ahli keluarga sebagai pekerja namun tidak mendaftarkannya.

"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebajikan dan keselamatan pekerja dalam kalangan ahli keluarga perlu lebih dititikberatkan," ujarnya.