MPAJ laksana 33 projek bawah Marris bernilai RM17 juta

Dr Aini Ahmad
Dr Aini Ahmad
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 33 projek pembaikan jalan dan prasarana di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dilaksanakan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ, Dr Aini Ahmad berkata, sebanyak RM17 juta diperuntuk bagi projek merangkumi baiki dan turapan jalan, longkang serta kemudahan infrastruktur sekitar menerusi pihak berkuasa tempatan itu.

“Sebanyak 33 projek telah dijalankan Julai lepas bawah peruntukan Marris sebanyak RM17 juta, malah ada juga (projek) yang sudah selesai,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, projek pembaikan termasuklah menaik taraf longkang, pejalan kaki dan kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan dan pagar di jalan-jalan kegunaan awam.

"Antara projek dijalankan adalah baik pulih longkang dan jalan secara turapan semula di jalan besar berhampiran SJKC On Pong, Mukim Ampang dan turapan jalan di Jalan Kosas 2, Taman Kosas.

"Selain itu, kerja pembaikan dilaksanakan di Jalan Pandan Bersih, Kampung Pandan, Jalan Pandan Indah 1 hingga 8 dan Jalan Bunga Melur 4, Taman Ampang Indah," katanya.

Pada Ahad, beliau turut merasmikan laman anggur Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat.

Beliau turut diiringi Timbalan Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Selangor, Beverlien Christine dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Rumah Pangsa AU2, Halim Mohamad Said.

Dr Aini seperti dilaporkan media berkata, MPAJ yakin lebih 52 kebun komuniti yang diusahakan bersama penduduk berpotensi menjadi hab agropelancongan dan pendidikan pertanian.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan sedia membantu menyediakan keperluan kepada penduduk untuk terus menjayakan kebun berkenaan.