SPRM nafi Justin Lim tidak diberi notis panggilan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Justin Lim Hwa Tat bahawa dia tidak diberi sebarang notis panggilan untuk membantu siasatan.

SPRM dalam satu kenyataannya berkata, dakwaan Justin baru-baru ini bahawa suruhanjaya itu tidak mengeluarkan sebarang notis kepadanya bagi membantu siasatan kes adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, bukan sahaja telah diberikan notis panggilan membantu siasatan, malah pihak SPRM turut berusaha mengesannya berhubung hal berkaitan.

"SPRM telah pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu untuk menyerahkan notis berkenaan, namun didapati sebuah premis tersebut telah dijual manakala satu lagi tidak dihuni olehnya.

"Pada tarikh sama, pihak SPRM juga telah pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor, namun Justin tiada di lokasi tersebut," katanya pada Isnin.

Tambahnya lagi, hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati Hwa Tat telah meninggalkan negara pada Februari lalu dan tiada rekod masuk kembali ke Malaysia.

Sehubungan itu menurutnya, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai lalu yang lengkap dengan nombor telefon serta e-mel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin.

Tegasnya, kenyataan media SPRM itu merupakan satu bentuk notis yang rasmi dan sah.

"SPRM bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Justin dalam hal berkenaan.

"Namun begitu, SPRM tetap menegaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd itu perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan pihak suruhanjaya berkaitan siasatan kes yang dijalankan," ujarnya.