'Arwah abang sangat ambil berat hal keluarga' - Adik

Ghazaley dan Fatimah ketika ditemui di Masjid Jamek Haji Dato Noh Gadut di Serkat pada Isnin.
Ghazaley dan Fatimah ketika ditemui di Masjid Jamek Haji Dato Noh Gadut di Serkat pada Isnin.
A
A
A
PONTIAN - "Abang seorang yang sangat mengambil berat hal keluarga dan akan pulang ke kampung walaupun sibuk, demi cium tangan mak, Aminah Abdullah, 83," kata Ghazaley Ayub, 56.

Adik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub itu berkata, selepas pemergian ayah tahun 2009, abangnya itu mengambil tanggungjawab terhadap dua adiknya.

"Sebagai abang sulung, dia (Salahuddin) sangat bertanggungjawab dan tidak pernah melupakan ibu. Kami sekeluarga sentiasa bersama abang menghurungi liku perjalanan bergelar ahli politik sehingga dia berjaya menjadi menteri.

"Saya dan keluarga reda dengan pemergian abang. Alhamdulilah urusan membawa jenazah dari Alor Setar ke Serkat berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Haji Dato Noh Gadut di Serkat pada Isnin.

Ghazaley berkata, sebaik diberitahu tentang abangnya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Subuh Jumaat, dia bergegas dari Alor Setar, Kedah.

"Saya tiba di HSB pada jam 11 pagi dan doktor pakar memaklumkan keadaan kritikal ketika itu selain harapan untuk pulih tipis.

"Walaupun sukar diterima tetapi saya tetap berharap ada perkembangan yang positif untuk abang. Namun ALLAH lebih menyayanginya dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," ujarnya.



Sementara itu, balu Allahyarham Datin Seri Fatimah Taha memberitahu, dia sentiasa berada di sisi suaminya ketika menerima rawatan di HSB.

"Kebetulan saya ikut dia (Allahyarham) ke program. Dia tidak keseorangan ketika itu. Saya ada di sisinya dan saya tidak dapat bayangkan jika keseorangan dengan keadaan sawan.

"Dia (Allahyarham) sentiasa balik walaupun dia tinggalkan saya untuk hadiri program, sekarang dia tinggalkan saya dan dia tak akan balik," katanya.

Hasil perkongsian hidup, Allahyarham dan Fatimah dikurniakan enam orang anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Pada Jumaat, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam, setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.