'Saya masih Yuna yang anda kenal' - Yuna

Yuna fokus menghasilkan EP berdasarkan apa yang peminat di Malaysia mahukan.
Yuna fokus menghasilkan EP berdasarkan apa yang peminat di Malaysia mahukan.
A
A
A

SETELAH lama tidak tampil dengan lagu baharu, penyanyi dan penggubah lagu yang aktif membina nama di Amerika Syarikat, Yuna, kembali dengan EP (Extended Play) Melayu sepenuhnya, berjudul Masih Yuna.

Mengandungi empat buah lagu berbahasa Melayu, Yuna atau nama penuhnya, Yunalis Mat Zaraai, menyifatkan EP tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripadanya.

“Sejujurnya saya rindu hendak mencipta lagu Melayu, tetapi saya tahu kalau hanya satu mungkin tidak mencukupi. Jadi saya hadiahkan empat kesemuanya, khas buat peminat.

“Sepanjang karier muzik saya, banyak komen saya terima daripada peminat bahawa saya sudah lupa diri, lupa dengan Malaysia dan lupa peminat-peminat di sini.

“Saya tidak ambil hati kerana itu semua tidak betul. Saya masih Yuna yang anda kenal. Bezanya selepas 10 tahun berada di Amerika Syarikat, banyak pengalaman saya timba,” ujarnya.

Kesemua lagu yang terkandung dalam EP Masih Yuna iaitu Menanti, Asing, Masih Sunyi dan Camaraderie adalah hasil ciptaan Yuna sendiri bersama barisan komposer antarabangsa.

Penyanyi yang baru sahaja menerima anugerah Anugerah Eksplorasi Seni di Anugerah Bintang Popular ke-35 baru-baru ini juga meluahkan rasa terharu apabila single Menanti yang dirilis pada 18 Mac lalu mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada peminat.

Justeru Yuna mengharapkan agar lagu-lagu daripada EP terbitan Yuna Music itu turut mendapat perhatian sama. Apatah lagi setiap lagu tersebut mempunyai kisah tersendiri ibarat ‘surat cinta’ buat peminat di Malaysia setelah berkelana jauh di negara orang.

EP Masih Yuna sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu Yuna.
EP Masih Yuna sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu Yuna.



“Ketika proses penghasilan EP ini, saya fokuskan terhadap apa yang peminat di Malaysia mahukan daripada saya. Cerita, perasaan dan kisah peribadi saya.

“Perjalanan muzik saya di Malaysia dan juga Amerika Syarikat bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak cabaran dan adakala saya rasa berputus asa, tapi peminat-peminat Malaysialah yang selalu memberi kata-kata semangat. Jadi EP ini adalah hadiah buat anda,” katanya.

Menurut wanita yang kini menginjak usia 36 tahun itu, proses menyiapkan keseluruhan EP terbabit mengambil masa selama dua bulan dan hanya dilakukan di rumahnya di Los Angeles.

Ia masih mengekalkan signatur bunyi Yuna yang dipadukan dengan nuansa muzik folk, R&B, pop dan balada melankolik.

“Saya harap peminat sukakan EP Masih Yuna kerana ia sangat istimewa dan saya seronok menghasilkannya.

“Buat mereka yang baru mula mengenali muzik saya, ini adalah peluang terbaik anda lebih menghargai karya-karya saya. Terima kasih kepada semua peminat,” katanya.