DAP pertaruh 10 penyandang, satu calon baharu di Negeri Sembilan

DAP pertaruhkan 10 penyandang DUN dan seorang muka baharu.
DAP pertaruhkan 10 penyandang DUN dan seorang muka baharu.
A
A
A

SEREMBAN - DAP Negeri Sembilan mempertaruhkan barisan calon dalam kalangan penyandang di 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang calon baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foo berkata, misi pada PRN kali ini untuk mengekalkan 19 kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

"11 daripadanya adalah kerusi DAP iaitu mempertahankan kerusi-kerusi penyandang kita, kebanyakkan kerusi mengekalkan status quo ataupun calon penyandang, kecuali satu kerusi iaitu di DUN Rahang ada muka baharu.

"Ini kerana mereka ada pengalaman di kawasan itu dan secara naratifnya calon-calon DAP di Negeri Sembilan kebanyakkannya masih muda iaitu berusia antara 30 hingga 40-an," katanya pada Majlis Pengumuman Calon DAP Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Katanya, keputusan parti itu untuk mengekalkan penyandang-penyandang berkenaan selepas membuat pelbagai pertimbangan hasil daripada survei, bertanya dan mengambil pandangan diperingkat akar umbi.

Sebelum itu, Loke Siew Fook mengumumkan senarai calon DAP negeri yang mana Desmond Siau Meow Kong akan membuat penampilan sulung di Rahang, menggantikan Mary Josephine.

Selain itu, Siew Fook yang merupakan penyandang DUN Chennah bersedia mempertahankan kerusi itu yang pertama kali dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2013.

P Gunasekaren juga bersedia untuk mempertahankan Seremban Jaya,Teo Kok Seong sekali lagi akan bertanding di Bahau, S Veerapan telah diberi mandat untuk mempertahankan Repah, Yap Yew Weng di Mambau manakala Ng Chin Tsai di Temiang.

Sementara itu, J Arul Kumar akan bertanding di Nilai, Chew Seh Yong di Lobak, Nicole Tan Lee Koon di Bukit Kepayang dan Choo Ken Hwa akan mempertahankan Lukut.