Paip pecah: SPAN jalankan siasatan

CHARLES SANTIAGO
CHARLES SANTIAGO
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian paip pecah di tapak projek pembinaan Lebuhr​aya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, baru-baru ini.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, siasatan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 122, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Di bawah peruntukan undang-undang terbabit, tiada seorang pun boleh dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan supaya dirosakkan apa-apa paip, saluran atau mana-mana bahagian daripada mana-mana sistem bekalan air awam.

"Selain itu, kita juga akan terus memantau secara rapi kerja-kerja pembaikan ke atas paip-paip tersebut bagi memastikan bekalan air pulih dengan segera," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. ​​

Menurutnya, ​kerja-kerja pembaikan​ yang dilakukan​ ​oleh Pengurusan ​Air Selangor Sdn Bhd​ (Air Selangor)​ ​juga ​​mengalami kesukaran disebabkan keadaan tapak yang masih berlaku pergerakan tanah​.

​"​Injap bekalan ke paip berkenaan ​juga sudah ditutup ​dan ​insiden berkemungkinan disebabkan pergerakan tanah yang berlaku di ​situ.

"Bagaimanapun, p​asukan Air Selangor sedang berusaha untuk menyiapkan kerja pembaikan secepat mungkin dengan pemantauan SPAN​," katanya.​

​​Beliau berkata, sebanyak 10 tangki statik dan 74 lori tangki air disediakan untuk memberikan bekalan air bantuan kepada pengguna yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

​"​Dua Pusat Khidmat Setempat di Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Parkland disediakan untuk memberikan bantuan kepada orang awam​.

"Lima pili awam di kawasan​ ​Masjid Rahimah, Seksyen 16 dan Bandar Bukit Raja ​juga disediakan memudahkan mereka mendapatkan bekalan air bantuan ​dari Air Selangor," katanya.