Laluan Forest City mendap: Jalan alternatif bakal dibina

Laluan di Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas di sini dilapor runtuh pada jam 2 petang Ahad.
Laluan di Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas di sini dilapor runtuh pada jam 2 petang Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jalan alternatif sepanjang satu kilometer (km) akan dibina bagi memudahkan pergerakan keluar masuk di kawasan tanah mendap di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas di sini.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu, pembinaan jalan berkenaan dijangka mengambil masa 24 jam untuk disiapkan.

Pihaknya menjangkakan laluan yang akan dibina pihak pengurusan Forest City itu boleh mula digunakan pada 26 Julai ini.

"Beberapa perkara telah diputuskan setelah berbincang dengan pihak pemaju, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jalan keluar dari Forest City ditutup sepenuhnya manakala jalan masuk ke Forest City dijadikan laluan keluar dan masuk untuk kenderaan ringan dua hala dengan kawalan ketat pihak polis trafik.

"Semua pihak dinasihat untuk mengurangkan pergerakan keluar masuk ke Forest City buat masa ini dan semua kenderaan berat dilarang sama sekali," katanya selepas melakukan lawatan ke kawasan berkenaan, pada Ahad.

Mohamad Fazli berkata, JKR negeri sedang memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dan kajian segera sedang dibuat sebelum apa-apa tindakan selanjutnya dilakukan.

"Semua pihak diminta untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan yang perlu," jelasnya.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd. Noh dilaporkan berkata kejadian itu berlaku pada jam 2 petang Ahad.

Menurut beliau, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mangsa dan melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter.