Kakitangan Jabatan Penerangan dilarang terlibat kempen PRN - Fahmi

Fahmi (tiga dari kanan) bergambar bersama teamu jemputan dan rakyat yang hadir pada Jelajah Madani 2.0 DUN Permatang di Dewan Terbuka Taman Desa Mawar, Tanjong Karang pada Ahad.
Fahmi (tiga dari kanan) bergambar bersama teamu jemputan dan rakyat yang hadir pada Jelajah Madani 2.0 DUN Permatang di Dewan Terbuka Taman Desa Mawar, Tanjong Karang pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua kakitangan Jabatan Penerangan diingatkan tidak terlibat dalam kempen politik kepartian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, semua petugas juga sudah diarahkan tidak memakai baju yang mempunyai logo parti politik.

"Ini tidak bermaksud jentera kerajaan bercuti selama dua minggu (sehingga) tempoh PRN (Pilihan Raya Negeri)," katanya ketika ditemui pada Jelajah Madani 2.0 Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Terbuka Taman Desa Mawar, Tanjong Karang pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata, paling penting semua jentera kakitangan agensi kerajaan itu mestilah terus bekerja menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan agar difahami oleh rakyat.

Fahmi memberitahu, semua kakitangan Jabatan Penerangan juga akan bekerja lebih masa sepanjang tempoh PRN.

Ditanya tentang arahan atau surat pekeliling sudah dikeluarkan kepada semua kakitangan Jabatan Penerangan, Fahmi menjelaskan tiada sebarang pekeliling kerana ia arahan am.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, secara purata pencapaian internet di Selangor mencapai 99 peratus berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Bagaimanapun, katanya, pengukuran itu berdasarkan capaian sekurang-kurangnya satu menara telekomunikasi.

Ujarnya, perkiraan itu hanya mengambil kira satu syarikat telekomunikasi sahaja yang mempunyai capaian liputan talian di sesuatu kawasan terbabit.

"Saya telah meminta SKMM merangka semula supaya sekurang-kurangnya satu kawasan ada tiga atau empat syarikat telekomunikasi yang mempunyai capaian memuaskan," katanya.