Ada keperluan kaji kadar upah p-hailing - Pakar ekonomi

Penghantar makanan atau p-hailing melakukan rutin mereka di sekitar pusat bandar pada Ahad. - Foto: Bernama
Penghantar makanan atau p-hailing melakukan rutin mereka di sekitar pusat bandar pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan semua syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah sememangnya berasas.

Menurut pakar ekonomi dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Normaz Wana Ismail, langkah itu bersesuaian pada saat negara sedang berhadapan dengan peningkatan kos sara ketika ini.

"Memang ada keperluan menaikkan kadar upah sebab kita dapati sekarang belia ramai yang berkecimpung sebagai pekerja gig. Jadi kita kena menghargai mereka yang terlibat dalam ekonomi gig ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa yang sama, Normaz Wana berkata, satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah berkenaan perlindungan sosial kepada pekerja-pekerja gig di negara ini.

"Kerajaan perlu pastikan mereka ini mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Perkeso. Ini kerana kita dapati sekiranya berlaku kemalangan, sudahlah upahnya sedikit, tiada pula perlindungan sosial. Apabila kemalangan berlaku, siapa nak lindungi mereka?” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut tidak diberi penekanan, ia dikhuatiri akan menjadi satu beban kepada pekerja ekonomi gig yang terpaksa berhadapan dengan kos tinggi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika mereka mencari rezeki.

Selain itu katanya, persatuan yang mewakili pekerja-pekerja industri tersebut juga perlu memainkan peranan bagi memberi kesedaran berkaitan perlindungan sosial mereka.

"(Skim caruman) Yang ada sekarang ini sangat murah, tapi perlindungannya sangat bagus. Peranan persatuan sangat penting untuk teruskan kempen kepada pekerja-pekerja ekonomi gig,” katanya.

Perdana menteri semalam pada Sesi Temu Anwar sempena Program Himpunan Rider MADANI Selangor meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan semua syarikat p-hailing bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung situasi yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi melantik sekretariat tidak rasmi untuk menyelaras isu berkaitan penghantar p-hailing dalam usaha memastikan kebajikan pekerja industri itu terus terpelihara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR Malaysia), Zulhelmi Mansor berkata, inisiatif diumumkan Perdana Menteri itu membuktikan kerajaan sentiasa cakna dengan situasi yang membelenggu pekerja industri ekonomi gig terutamanya sektor p-hailing dan e-hailing.

Peruntukan RM1 juta yang diumumkan juga katanya merupakan satu inisiatif yang baik selain membuktikan komitmen kerajaan menjaga kebajikan pekerja-pekerja ekonomi gig.

Mengulas mengenai hasrat perdana menteri untuk bertemu dengan pengendali syarikat p-hailing, Zulhelmi berharap ia akan menghasilkan impak positif.

"Upah sekarang ini berbeza mengikut syarikat penyedia. Upah tersebut untuk kesemua syarikat ini adalah tersangat rendah.

"Jadi kita harap pihak syarikat melalui pertemuan dengan perdana menteri dapat menilai dan seterusnya menaikkan kadar upah tersebut selaras dengan kos pekerjaan kita, yang kedua masa pekerjaan kita, risiko pekerjaan kita dan keempat dengan keadaan ekonomi sekarang ini yang kita rasakan tidak stabil di dunia dan Malaysia,” katanya.

Zulhelmi berkata, pihak kerajaan juga boleh mencadangkan kepada pengendali syarikat p-hailing untuk menurunkan kadar komisen yang ditetapkan kepada pengusaha makanan ataupun vendor.

"Ini adalah kerana pengusaha makanan ataupun vendor akan menaikkan harga makanan mengikut kepada kadar komisen yang ditetapkan oleh pihak syarikat. Apa yang syarikat boleh buat ialah turunkan komisen pada pihak vendor supaya upah ‘rider’ (penghantar) boleh dinaikkan. Ia bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan upah penghantaran,” katanya. - Bernama