Mary Josephine tidak pertahan DUN Rahang

Anthony (kiri) ketika bertemu Mary Josephine di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.
Anthony (kiri) ketika bertemu Mary Josephine di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh tidak akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Perkara tersebut dikongsikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook melalui satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Menurut Anthony, Mary Josephine menyampaikan hasrat untuk memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding di DUN tersebut.

“Pagi tadi (Ahad) saya telah berjumpa dengan penyandang ADUN Rahang (Negeri Sembilan), Mary Josephine di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

“Beliau menyampaikan hasrat kepada saya untuk memberi laluan kepada muka baru di DUN Rahang dalam PRN kali ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada sumbangan dan khidmat beliau kepada parti dan rakyat. Beliau menjadi wakil rakyat selama 10 tahun sejak PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13),” katanya.

Anthony secara peribadi terhutang budi kepada Mary Josephine kerana beliau antara ahli veteran DAP Negeri Sembilan yang banyak membantu semasa penglibatan awalnya dalam politik di negeri terbabit dan kempen pilihan raya pertamanya pada tahun 2004.

“Thank you, Josephine!” ujarnya.

Untuk rekod, Mary Josephine yang merupakan ahli DAP selama hampir 50 tahun itu memenangi kerusi DUN Rahang sebanyak dua penggal.

Pada Julai 2020, beliau pernah mengumumkan keluar daripada DAP kerana kecewa dengan ahli dan pemimpin DAP Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, 10 hari selepas itu, beliau mengumumkan menarik balik keputusan itu dan mengakui meninggalkan DAP adalah sesuatu yang menyakitkan dan tidak menggembirakan.