Biar undang-undang 'hukum' penceroboh tanah haram - PSAP

Haslihelmy, Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Haslihelmy, Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

KUANTAN - Tindakan kerajaan Pahang menyerahkan kepada mahkamah bagi 'menghukum' penceroboh tanah haram adalah keputusan tepat dalam memastikan pihak tidak bertanggungjawab dihukum berlandaskan undang-undang.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, tindakan itu juga memperlihatkan ketegasan kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam membanteras kegiatan penerokaan tanah haram di negeri ini.

"Isu penerokaan tanam haram ini bukan perkara baharu, ia berlaku sejak sekian lama yang mana pihak tidak bertanggungjawab mengaut untung jutaan ringgit tanpa membayar premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah serta cukai.

"Sekiranya hanya didenda, penceroboh-penceroboh tanah haram tetap berleluasa kerana mereka mampu bayar denda, jadi kini biar mahkamah tentukan termasuk kemungkinan mereka perlu kosongkan tanah yang diteroka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Wan Rosdy memberitahu tiada lagi kompaun akan dikenakan sebaliknya individu yang dikesan terlibat aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang akan terus didakwa di mahkamah.

Menteri Besar itu berkata, ia merupakan tindakan tegas dalam usaha mengekang aktiviti penerokaan tanah haram di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, tindakan kompaun yang dikenakan sebelum ini dilihat tidak menakutkan golongan terbabit selain seolah-olah kerajaan negeri tidak serius.

Mengulas lanjut, Haslihelmy menjelaskan, isu penerokaan tanah secara haram di Pahang telah mengakibatkan kerajaan negeri tidak memperoleh hasil yang sewajarnya untuk digunakan bagi meningkatkan ekonomi domestik.

"Sesiapa yang mengusahakan tanah secara haram dan salah maka pihak terbabit tidak berhak memilikinya malah mesti menanggung kos mengosongkan tanah itu atau mengeluarkan barangan dari kawasan terbabit.

"Kerajaan negeri berhak menghalang dan menyekat daripada diusahakan tanah-tanah tertentu yang didapati diceroboh secara haram," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pahang juga mempunyai hak menghukum pihak yang melanggar undang-undang tanah supaya menjadi pengajaran dan mengelakkan kerugian kepada negeri.

"PSAP menyokong penuh tindakan kerajaan negeri mengheret penceroboh tanah haram ke mahkamah. Kita harap ia menggerunkan pihak berkenaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!