PN terdesak heret Tun M ke pentas ceramah

Anwar semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Warga Felda di Masjid Al-Ghufran, Felda Chiku 5, Gua Musang pada Ahad.
Anwar semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Warga Felda di Masjid Al-Ghufran, Felda Chiku 5, Gua Musang pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat tindakan Perikatan Nasional (PN) mengheret Tun Dr Mahathir Mohamad ke pentas ceramah Pas sebagai kumpulan terdesak.

Beliau berkata, hal ini kerana bekas Perdana Menteri itu pernah bertindak zalim terhadap Pas satu masa dahulu.

"Bukan itu sahaja beliau turut kejam ke atas Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan mangsa Memali (Kedah).

"Namun, sekarang ini didokong...tidak mengapalah, itu hak mereka," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Ramah Mesra Warga Felda di Masjid Al-Ghufran, Felda Chiku 5 dekat sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menerima secara terbuka sokongan yang diberikan oleh Tun M kepada PN ketika ini.

Kehadiran negarawan ulung tersebut menyampaikan ucapan buat kali pertama di pentas Pas pada program Munajat Rakyat Kelantan: Pakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat memberi gambaran parti itu seolah-olah sudah memaafkan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.