Selepas 15 tahun, Ziana Zain ubat rindu peminat dengan single baharu

Ziana
Ziana
A
A
A

LEBIH tiga dekad membina nama dan reputasi dalam industri seni dengan pelbagai pencapaian diraih, semestinya Ziana Zain mempunyai tempat yang cukup istimewa di hati para peminatnya.

Meski datang bintang baharu silih berganti, pengaruh pemilik nama penuh Siti Roziana Zain ini tidak pernah berkurang, malah sentiasa mewangi dengan sokongan padu daripada mereka yang sentiasa menghargai karya-karyanya sebelum ini.

Tidak hairanlah single baharu nyanyian Ziana bersama bakat muda, Hasif Upin yang berjudul Waktu, mendapat sambutan luar biasa meski sudah 15 tahun tidak tampil dengan karya terkini.

Terharu dengan penerimaan peminat terhadap lagu ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat yang dilancarkan pada 14 Julai lalu itu, Ziana mengakui sebak dan tidak menyangka orang ramai masih mendambakan lagu-lagu nyanyiannya.

“Selepas 15 tahun tidak tampil dengan karya baharu, saya sama sekali tidak menyangka mendapat reaksi yang sangat positif daripada peminat, media dan orang di sekeliling.

“Memang sebak bila tengok sokongan tidak berbelah bahagi diberikan pada saya. Bukan sahaja daripada penyokong era saya, tetapi juga peminat generasi baharu.

“Saya mula menyanyi ketika berumur 22 tahun dan kini sudah 55 tahun pun orang masih menyokong dan mahu mendengar lagu-lagu saya. Sangat bersyukur dan rasa disayangi,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Atas sebab itu juga, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Madah Berhelah itu mahu membalas sokongan tersebut dengan memberikan yang terbaik buat peminatnya.

Tidak mahu semberono tampil dengan lagu baharu semata-mata untuk menunjukkan dirinya masih relevan, Ziana akui sangat cerewet dan meletakkan kualiti karya pada perkiraan paling atas.

Ziana tampil berkolaborasi bersama Hasif Upin dalam single Waktu.
Ziana tampil berkolaborasi bersama Hasif Upin dalam single Waktu.

“Sebenarnya dalam tempoh 15 tahun itu, ramai komposer yang bagi lagu pada saya, tetapi hati tidak terbuka untuk menerimanya.

“Bukan lagu itu tidak bagus, cuma ia tidak menepati apa yang saya mahukan. Saya agak cerewet dalam soal ini dan sanggup menolaknya meski sedar peminat sudah lama menunggu dan mengharapkan lagu baharu daripada saya,” katanya.

Berkat kesabaran akhirnya hadir juga lagu yang memenuhi kriteria diinginkan, malah benar-benar dekat dengan hatinya.

Walau hanya tampil dengan lagu duet dan bukan solo, Ziana akui sangat berbesar hati untuk kembali bertemu peminat.

“Duet atau solo bukan soalnya. Apa yang penting karyanya bagus dan inilah rezeki saya ketika ini.

“Pada masa sama, saya sangat seronok dapat berkolaborasi dengan bakat baharu seperti Hasif, selain komposer dan pemuzik muda yang turut memberi banyak ilmu serta pengalaman baharu pada saya,” katanya.

Demi anak-anak

Selain kerjaya seni yang kembali rancak, selebriti yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya itu juga sibuk menguruskan empat cahaya matanya yang sedang membesar.

Akui Ziana, tidak mudah bergelar ibu tunggal dan banyak cabaran perlu ditempuhi demi memikul tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahunya.

“Sebagai ibu tunggal, saya sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa kuat semangat dan bangkit meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. Tiada siapa yang boleh tolong kita, melainkan diri sendiri.

“Suatu ketika saya sering bertanya kepada ibu saya sambil menangis, apa akan jadi pada saya dan anak-anak jika ibu dan bapa sudah tiada kelak. Saya takut tidak kuat untuk menjalani kehidupan sendiri. Tapi satu sahaja ibu jawab, ‘ALLAH kan ada’.

“Jadi saya sentiasa ingat itu dan tekad untuk bangkit demi anak-anak biarpun hakikatnya tidak mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Ada sahaja yang tidak kena di mata orang,” akuinya.

Pun begitu, kata Ziana, dirinya bertuah kerana memiliki anak-anak yang sangat memahami dan banyak membantunya dalam urusan seharian.

Tidak mahu lagi berpaling melihat kehidupan lalu, bintang filem Sembilu itu kini mahu kembali fokus kepada kerjaya, selain memberikan yang terbaik buat anak-anak.

“Saya pernah berada dalam fasa depresi selama empat tahun dan cukuplah setakat itu. Kini saya sudah bangkit dan mahu menjalani kehidupan lebih baik bersama anak-anak dan keluarga,” katanya.