PM ingatkan kementerian, agensi laksana segera projek diumum

Anwar (depan tengah) hadir pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar (depan tengah) hadir pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian serta agensi untuk memastikan setiap projek yang telah diumumkan kerajaan dapat dilaksanakan dengan segera.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ini kerana beliau tidak mahu projek berkenaan hanya diumum semasa menjelang pilihan raya negeri (PRN) namun ia tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan selepas pilihan raya.

"Jangan umum masa PRN, lepas itu lupa. Saya tidak mahu macam itu dan disebabkan itu saya minta semua agensi mesti memantau projek masing-masing.

"Mesti laksanakan projek yang diumum dan sekiranya berlaku kelewatan, ia perlu dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata, ini termasuk projek menambah baik jalan di kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan yang telah diumumkan Ahmad Zahid dalam program itu.

Perdana Menteri berkata, ini sekali gus menunjukkan keprihatinan Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah terhadap kebajikan Orang Asli dengan memberi tumpuan untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi golongan itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi projek menambah baik jalan melibatkan kawasan Kuala Betis-Pos Balar dan Pos Belatim-Kuala Betis-Pos Bihai, masing-masing di Gua Musang.

"Saya selaku Menteri Kewangan tahu bahawa jumlah itu bukan kecil. Namun saya harap ia dapat disegerakan.

"Saya juga minta pegawai atasan daripada agensi berkaitan projek itu untuk memberikan laporan kemajuan jalan di perkampungan Orang Asli terutamanya di Hulu Kelantan dari semasa ke semasa," katanya.

Perdana Menteri juga menggesa semua pihak untuk memberi tumpuan terhadap masalah yang dihadapi Orang Asli di seluruh negara malah meminta masyarakat dan pihak berkaitan memberi cadangan dalam menambah baik serta menjamin kehidupan Orang Asli.

"Kita perlu anggap masalah Orang Asli adalah masalah kita, keluarga Orang Asli adalah keluarga kita, dan anak Orang Asli adalah anak kita... Jika tidak puas hati dengan pelaksanaan yang kerajaan sedang lakukan, beri cadangan sebab kerajaan tidak anggap kami sempurna.

"...tetapi kerajaan pegang amanah dan akan bekerja sedaya upaya untuk melaksanakan perubahan," kata Anwar. - Bernama