PRN: BN masih dominan daripada segi jumlah kerusi ditandingi

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Tidak wujud istilah jumlah kerusi Barisan Nasional (BN) di Selangor dan Pulau Pinang kecil kerana parti itu masih dominan dengan 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada pilihan raya enam negeri, Ogos depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembahagian dibuat mengambil kira jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya lalu.

"Ada yang memberi pandangan mengapa BN cuma tanding 12 kerusi di Selangor. Sebelum ini, BN cuma menang lima kerusi sahaja. Tetapi sekarang BN dapat tanding 12 kerusi dengan tambahan kerusi berdasarkan kepada peluang untuk menang pada kali ini.

"Begitu juga di Pulau Pinang, BN tanding enam kerusi, kerana sebelum ini BN cuma menang dua kerusi. Sebelum ini, sokongan diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) tetapi sekarang apabila BN bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan, maka sokongan juga akan diberikan kepada BN.

"Oleh itu, BN ada harapan untuk menang kesemua 12 kerusi di Selangor dan meraih kejayaan di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di Warung Kopi Pojok Benut pada Ahad.

Tambah Timbalan Menteri Kewangan I itu, kemenangan di Selangor dan Pulau Pinang cukup penting bagi membolehkan BN menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri apabila PH menang pada PRN kelak.

"BN boleh jadi sebahagian daripada kerajaan negeri bersama PH, mungkin kita boleh jadi Exco kerajaan negeri sebab BN sudah tidak mengusai Dewan DUN di Selangor bermula tahun 2008.

"Sama seperti di Pulau Pinang, BN sudah lama tidak menjadi kerajaan negeri di sana. Sudah tentu jika BN menang, kita boleh jadi sebahagian daripada kerajaan negeri di sana," katanya.

Pada Jumaat, BN mengumumkan senarai calon bagi 107 kerusi bakal ditandingi pada PIilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos nanti.