Selangor waspada muslihat Sabah di Kelana Jaya

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

SELANGOR FC berwaspada menyambut kunjungan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Ahad.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, Sabah bukan pasukan yang boleh dipandang mudah apatah lagi The Rhinos masih segar dengan kemenangan besar membelasah Sri Pahang FC 4-0 Sabtu lalu.

Malah Cheng Hoe percaya keupayaan Sabah FC membelasah Sri Pahang yang juga berada di kelompok teratas liga merupakan ancaman yang perlu diberi perhatian oleh skuad Gergasi Merah.

“Kita tahu Sabah baru menang dengan Sri Pahang dengan satu keputusan besar. Kalau kita lihat atas kertas dan daripada keputusan yang dicapai oleh Sabah itu, kita perlu bersedia sebaiknya.

“Sabah juga telah membawa masuk beberapa pemain import yang bagus dan itu sebab mereka boleh menang besar ke atas Sri Pahang,” katanya.

Selangor juga dalam prestasi terbaik selepas menjinakkan Penang FC, 3-0 di Kelana Jaya pada 15 Julai lalu dalam misi pemburuan kemenangan ke-13 liga.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menggesa para pemainnya menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk melakar keputusan positif ke atas Sabah.

Malah, beliau juga mahu pasukan kendaliannya itu untuk cuba menebus kekalahan 1-2 kepada skuad Borneo itu pada perlawanan pusingan pertama liga di Likas.

“Kita kena ambil peluang untuk bermain di laman sendiri dengan sokongan daripada penyokong dan juga keyakinan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Selangor kini menduduki tangga kedua liga dengan 37 mata selepas mengharungi 17 perlawanan hasil - 12 menang, 1 seri, 4 tewas manakala Sabah pula di kedudukan keempat selepas mengharungi 17 perlawanan - 10 menang, 3 seri dan 4 tewas.