Seorang budak maut, seorang lagi lemah akibat lemas

Seorang kanak-kanak lemas manakala seorang lagi lemah dalam kejadian di Pantai Syahbandar, di Tuaran pada Sabtu.- Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lemas manakala seorang lagi lemah dalam kejadian di Pantai Syahbandar, di Tuaran pada Sabtu.- Gambar hiasan
A
A
A

TUARAN - Seorang kanak-kanak lemas manakala seorang lagi ditemukan dalam keadaan lemah dalam kejadian di Pantai Syahbandar, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Imanina Nasuha Borhan, 10, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuaran manakala Muhammad Harris Zaki Abdullah, 7, sedang menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer.

"Menurut laporan terdapat dua mangsa lemas ketika melakukan aktiviti mandi di pantai berkenaan.

"Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberikan rawatan awal terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, kedua-dua kanak-kanak itu kemudian segera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, seorang daripadanya disahkan meninggal dunia dan seorang lagi dalam keadaan lemah.

"Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 petang," katanya.