Tiada siasatan dijalankan berkaitan Himpunan Daulat Tuanku - Polis

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor tidak membuka sebarang siasatan berhubung penganjuran Himpunan Daulat Tuanku: Pertahankan Institusi Diraja yang diadakan di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada sebarang tindakan atau siasatan dijalankan memandangkan himpunan tersebut dihadiri kurang daripada 50 orang.

"Polis bagaimanapun tetap menjalankan penugasan kawalan keselamatan di lokasi himpunan tersebut dengan kekuatan seramai 80 anggota ditempatkan di sekitar lokasi.

"Himpunan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan dan bersurai dengan lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, lebih 50 individu menyertai Himpunan Daulat Tuanku: Pertahankan Institusi Diraja yang diadakan di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Himpunan yang dianjurkan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor itu dianjurkan bertujuan untuk mempertahankan institusi diraja yang didakwa telah disentuh beberapa pihak tidak bertanggungjawab.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 2 petang itu turut dihadiri beberapa NGO Melayu dan Islam di negeri ini.