PRN: Pas beri bayangan tampil muka baharu

Ahmad Samsuri (tengah) ketika Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan pada malam Jumaat.
Ahmad Samsuri (tengah) ketika Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan pada malam Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan lebih ramai muka baharu daripada parti itu ditampilkan sebagai calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu.

Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peratusan muka baharu yang akan bertanding untuk mewakili parti dalam PRN pada 12 Ogos depan.

"Kita umum calon pada 27 Julai ini... Saya tak kira berapa peratus cuma rasa ramai juga muka baharu terutama orang muda," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman dari Barisan Nasional (BN) yang menampilkan 62 peratus muka baharu pada pilihan PRN nanti.

Pada Jumaat, BN mengumumkan 107 calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut merangkumi 62 peratus muka baharu, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 18 peratus dan pernah bertanding (20 peratus).

Daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan di enam negeri, BN meletakkan 108 calon terdiri daripada muka baharu, pernah bertanding dan yang kalah selain menawarkan diri semula.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berharap suatu persaingan lebih baik dapat diwujudkan semasa pilihan raya setelah melihat muka baharu yang ditampilkan oleh BN pada PRN ini.

"Saya ucap tahniah pada mereka dipilih sebagai calon untuk bertanding bagi pihak BN dan tentulah selepas ini Pakatan Harapan akan mengumumkan calon-calon mereka. Tahniah pada mereka.

"Cabaran sebagai calon baharu bermula kepada mereka dan kita ucap selamat bertanding dalam pilihan raya. Dalam apa juga pertandingan, tentulah ada persaingan.

"Cuma kita berharap supaya persaingan itu dalam suasana lebih harmoni dan berada keadaan baik selain mewujudkan politik yang baharu di negara ini terutama di Terengganu," jelas beliau.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.