Sokongan terhadap Pas bertambah - Penganalisis politik

HUSSAIN
HUSSAIN
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan rakyat terutama golongan muda terhadap Pas dijangka bertambah dengan keputusan parti itu mengekalkan pencalonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, keyakinan itu bersandarkan situasi semasa politik negara.

Katanya, isu-isu politik yang berlaku ke atas Menteri Besar Kedah itu dapat diuruskan dengan baik, sekali gus meyakinkan rakyat tentang posisinya pada masa kini.

“Selain itu, pentadbiran Muhammad Sanusi (juga didapati) tiada salah guna kuasa yang dibuktikan di mahkamah (ketika ini) dan tindakan pantas beliau menjawab segala tuduhan (telah) meyakinkan rakyat (terhadap) kewibawaan beliau,” katanya pada Jumaat.

Hussain Yusri berkata, meskipun Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berdepan kes mahkamah, namun ia tidak sesekali memberi kesan terhadap sokongan pengundi.

“Saya berpandangan ia tidak langsung memberi kesan kepada PN berdasarkan pencapaian Menteri Besar Kedah yang membanggakan dan aura (Muhammad) Sanusi yang semakin kuat,” katanya.