Kerajaan, pembangkang sedia letak calon wanita pada PRN

Rodziah, Jamal, dan Roslan Shahir
Rodziah, Jamal, dan Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang bersedia meletakkan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP), Rodziah Ismail berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya mempertimbangkan 30 peratus kuota calon wanita.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai aspek perlu dinilai oleh jawatankuasa sebelum mengetengahkan calon wanita bertanding dalam PRN.

"Sejak dari dulu lagi PKR komited mengetengahkan calon wanita, tetapi kali ini kita juga menitikberatkan calon yang boleh membawa aspirasi dan mendukung usaha untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat diteruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Malah beliau memberitahu, komitmen sama juga ditunjukkan Pakatan Harapan (PH) dalam mengetengahkan calon wanita.

"Kita lihat kebanyakan calon wanita terutama berjawatan tinggi dalam parti masing-masing diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

"Namun, semua keputusan ini diserahkan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing," jelas beliau.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, BN juga tidak ketandusan calon wanita untuk diketengahkan dalam PRN Selangor.

Beliau memberitahu, walaupun BN tidak lagi meletakkan kuota sayap sejak 2018, namun mempertimbangkan mana-mana calon termasuk wanita jika boleh menang dalam pilihan raya.

"Kalau kawasan tersebut wanita atau puteri boleh menang, di situlah diletakkan calon tersebut.

"Saya yakin ada daripada kerusi ditandingi di Selangor ini kemungkinan wanita bertanding," ujar Jamal.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas tidak terkecuali untuk menampilkan calon wanita pada PRN Selangor.

Jelas beliau, kuota itu sentiasa ada lebih-lebih lagi calon wanita dipertaruhkan Pas Selangor di Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kita ada seorang Ahli Parlimen di negeri ini yang menang atas tiket Muslimat (Pas) dan kita yakin kemampuan mereka jika diberi peluang," katanya.

Roslan memberitahu, Pas juga yakin komitmen sama dipertimbangkan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kita menanti pengumuman rakan daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) yang saya jangkakan lebih 10 peratus calon PN terdiri dalam kalangan wanita," tambahnya.