Bell Ngasri Bintang Paling Popular ABPBH35

Bell Ngasri cipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH35 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bell Ngasri cipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH35 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

PELAWAK Bell Ngasri mencipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35) yang berlangsung di Istana Budaya, di sini pada malam Jumaat.

Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri cukup sinonim dengan watak Barkoba dalam telefilem 16 Puas itu turut memenangi kategori Artis Komedi Popular.

Ternyata kempen besar-besaran yang dilakukan bintang berusia 43 tahun itu membuah hasil dengan kemenangan tersebut.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Selama 37 tahun ada dalam industri, saya tak bergantung pada populariti, tapi saya masih ada di sini.

"Dari sekecil-kecil watak, saya sentiasa di belakang hero dan saya ada di celah-celah orang. Alhamdulillah saya bersyukur ada juga orang yang minat dan akhirnya hari ini menjadi bukti," ujar Bell sebaik diumumkan sebagai pemenang.

Sementara itu, pelakon Anna Jobling turut mencuri tumpuan dengan menggondol tiga anugerah bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular, BBNU Wanita Popular dan Couple TV Popular bersama Meerqeen menerusi drama Melur Untuk Firdaus.

Acara berprestij untuk edisi kali ini turut memberikan Anugerah Ekspresi Legasi Seni kepada aktres antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh atas pencapaian dan sumbangannya terhadap industri seni tanah air.

Penyanyi Yuna pula mendapat penghormatan untuk Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH35.

Malam kemuncak ABPBH35 turut diserikan dengan persembahan daripada barisan artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Judika, Aizat Amdan, Amelina dan lain-lain.

Malam gemilang yang disiarkan secara langsung di TV3 itu dihoskan oleh Johan dan Ain Edruce.


SENARAI PEMENANG ABPBH35
Kategori utama

Bintang Paling Popular: Bell Ngasri

BBNU Lelaki Popular: Amir Ahnaf

BBNU Wanita Popular: Anna Jobling

TikTokers Popular: Sally Whoo

Penyanyi Lelaki Popular: Khai Bahar

Penyanyi Wanita Popular: Aina Abdul

Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular: Dolla

Aktor Filem Lelaki Popular: Beto

Aktres Filem Wanita Popular: Sophia AlBarakbah

Pelakon TV Lelaki Popular: Meerqeen

Pelakon TV Wanita Popular: Anna Jobling

Pengacara TV Popular: Elly Mazlein

Penyampai Radio Popular: Tyzo

Artis Komedi Popular: Bell Ngasri

Anugerah Ekspresi Legasi Seni: Tan Sri Michelle Yeoh

Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH35: Yuna

Kategori Ekstra!

Couple TV Popular: Anna Jobling & Meerqeen (Melur Untuk Firdaus)

Couple Filem Popular: Datuk Aaron Aziz & Nadiya Nisaa (Dekatnya Cinta)

Drama Popular: Melur Untuk Firdaus

Lagu Paling Boom Popular: Terus Hidup (Aina Abdul)

Content Creator Popular: Alief Irfan

Lawak Viral Popular: Syahmi Sazli, Hasif & Yoe Parey