Kerajaan kaji semula undang-undang lapuk berkaitan 3R

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan mengkaji semula kerelevanan undang-undang sedia ada agar selaras dengan perkembangan semasa susulan peningkatan jumlah kes provokasi agama, bangsa dan raja (3R) baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang sedia ada tersebut termasuk Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ujarnya, selain itu, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), namun perlu diambil kira bahawa antara undang-undang berkenaan, ada yang telah digubal tujuh dekad yang lalu.

"Sehubungan itu, satu sesi libat urus yang terdiri daripada Perbincangan Kumpulan Fokus dan juga Dialog Perundangan 3R mengenai isu tersebut telah diadakan bagi mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada.

"Ia termasuk cabaran terkini yang dihadapi oleh agensi penguat kuasa dan juga untuk menerokai model perundangan alternatif dalam menanganinya dengan mengambil kira piawaian serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa seperti Prinsip Camden, Pelan Tindakan Rabat dan Strategi serta Pelan Tindakan PBB Mengenai Ucapan Kebencian (UNSPAHS)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, sesi libat urus berkenaan diadakan pada Jumaat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur dan dihadiri lebih 50 wakil daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan.

Ia termasuk Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan-badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Tambah Azalina, menerusi sesi tersebut, terdapat tiga persoalan utama yang dikemukakan kepada peserta untuk tujuan perbincangan adalah sama ada Malaysia memerlukan pemansuhan perundangan sedia ada dan penggubalan akta baharu.

Jelasnya, ia bagi mempertimbangkan sama ada untuk memansuhkan perundangan seperti Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dengan digantikan dengan undang-undang baharu untuk kesalahan yang lebih spesifik.

"Selain itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu Perundangan baharu yang berbentuk jenayah atau quasi jenayah atau sivil. Kedua, Pindaan Perundangan iaitu membuat pindaan kepada perundangan yang sedia ada bagi memastikan isu provokasi 3R dapat ditangani secara holistik.

"Ketiga, tiada Pindaan Perundangan bermaksud tidak ada perubahan perundangan diperlukan di mana usaha menangani isu provokasi 3R diteruskan melalui pendekatan yang lain," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak penguat kuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Antaranya cabaran yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SKMM adalah penyebaran maklumat yang pantas melalui penggunaan teknologi yang canggih dan akaun dalam talian palsu atau digodam.

"Selain kerahsiaan nama yang tidak dapat dikesan serta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyukarkan proses siasatan dan pendakwaan," katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan hala tuju dasar dan perundangan yang holistik untuk dijadikan panduan kepada pentadbiran dalam menangani isu provokasi melibatkan 3R.

Pada masa yang sama, ujar beliau, pihaknya juga menggalakkan toleransi, keharmonian dan perpaduan.

"Di samping itu, hasil dari Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Kerajaan Perpaduan menyokong hak kebebasan bersuara sebagai hak rakyat Malaysia seperti mana yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

"Ia termasuk mengambil kira bahawa hak kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan secara bertanggungjawab," jelasnya.