Konflik Israel-Palestin, PBB ulangi sokongan penyelesaian dua negara

Antonio Guterres (kanan) semasa tiba ke pertemuan dengan Presiden Israel Isaac Herzog (kiri) di ibu pejabat PBB di New York. - Foto AFP
Antonio Guterres (kanan) semasa tiba ke pertemuan dengan Presiden Israel Isaac Herzog (kiri) di ibu pejabat PBB di New York. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengulangi sokongannya terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin semasa pertemuan dengan Presiden Israel Isaac Herzog pada Khamis.

Herzog bertemu dengan Guterres di New York sebagai sebahagian daripada lawatannya ke AS, menurut Agensi Anadolu.

Guterres menekankan keperluan untuk menghindari daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penyelesaian dua negara, menurut jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Beliau mengutuk semua tindakan keganasan dan menyatakan bahawa operasi menentang keganasan mesti dibuat dengan sepenuhnya menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, menurut kenyataan itu.

Setiausaha Agung juga mengutuk sebarang bentuk antisemitisme.

Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serangan berulang Israel ke atas bandar-bandar Palestin.

Hampir 195 penduduk Palestin telah dibunuh tentera Israel sejak awal tahun ini menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Sekurang-kurangnya 27 penduduk Israel turut terbunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh sama. - Bernama