Abdul Puhat ketuai jawatankuasa ad hoc selamatkan PAFA

Khairudin (tengah) bersama sebahagian peserta program Rising Together anjuran bersama UKM - GSB dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.
Khairudin (tengah) bersama sebahagian peserta program Rising Together anjuran bersama UKM - GSB dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dilantik mengetuai jawatankuasa ad hoc yang ditubuhkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi menyelesaikan kemelut dihadapi badan induk bola sepak Perak itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pelantikan ahli jawatankuasa ad hoc tersebut tidak dilakukan di peringkat negeri tetapi dibuat oleh KBS dan PJS.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan berperanan menjalankan proses perjalanan mesyuarat agung atau kongres tahunan PAFA sehingga terbentuknya jawatankuasa PAFA.

"Sekarang ini saya difahamkan pihak jawatankuasa ad hoc telah bermesyuarat pada minggu lepas dan mereka sedang menjalankan kerja-kerja awalan untuk melihat kembali di mana kelompongan, kelemahan untuk mengurus tadbir PAFA ini mengikut perlembagaan, peraturan dan tata kelola oleh PJS supaya proses perjalanan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) nanti berjalan seperti apa yang dikehendaki dalam perlembagaan PAFA.

"Kita mengharapkan dengan adanya jawatankuasa berjaya menyelesaikan isu nanti, kita dapat membentuk satu jawatankuasa PAFA untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan, kejurulatihan, pengadilan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Rising Together anjuran bersama Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.

Khairudin (tengah) ketika menyempurnakan program Rising Together anjuran bersama UKM - GSB dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.
Khairudin (tengah) ketika menyempurnakan program Rising Together anjuran bersama UKM - GSB dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.

Sementara itu, Khairudin menggesa semua persatuan sukan di Perak mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada PAFA.

Menurutnya, setiap persatuan sukan di negeri ini perlu memastikan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) dihantar ke PJS.

"Setakat ini tak ada persatuan yang menghadapi masalah seperti PAFA. Yang penting pada saya MYKB kena selesai sama ada peringkat daerah atau negeri, laporan tahunan MYKB itu kena hantar kepada KBS.

"Saya menyerulah kepada persatuan-persatuan sukan negeri supaya mengambil berat berkaitan dengan kongres tahunan masing-masing serta menghantar MYKB," katanya.

Sebelum ini, PJS membuat keputusan menggantung badan induk bola sepak Perak itu selama enam bulan susulan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu pada 7 Mac 2022 lalu.

Kemelut permasalahan PAFA dikatakan berpunca daripada tindakan kedua-dua kumpulan bertelagah dalam PAFA untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana tidak mengikut peraturan dan perlembagaan persatuan.

Berikutan itu PJS memberi peluang kepada PAFA agar mengadakan perbincangan antara pihak yang bertelagah iaitu membabitkan 11 ahli gabungan serta tiga Naib Presidennya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!