2 pengadil luar negara pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan

Fahmy (dua dari kiri) bergambar pada Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2023 di House M Roof pada malam Khamis. - Foto Bernama
Fahmy (dua dari kiri) bergambar pada Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2023 di House M Roof pada malam Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) menjemput dua pengadil luar negara dari Ragbi Asia bagi mengadili Kejohanan 7 Sebelah Kebangsaan yang dijadual bermula pada Jumaat.

Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil berkata, Ragbi Asia telah memilih Leow Wei Liang dan Christabelle Lim Mee, kedua-duanya dari Singapura, sebagai pengadil jemputan bagi mengadili kejohanan dua hari itu.

"Leow akan mengadili untuk perlawanan kategori lelaki manakala Christabelle pula untuk kategori wanita, ini antara pembaharuan yang KRM ketengahkan pada kejohanan kali ini.

"Kedua-dua pengadil ini akan dibantu pengadil tempatan yang sedikit sebanyak turut memberi ruang kepada pengadil kita untuk menimba pengalaman," katanya ketika ditemui selepas sesi Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan malam Khamis.

Fahmy berkata, ini merupakan kerjasama pertama dengan Ragbi Asia dan berharap peluang ini mampu memberi semangat kepada pengadil tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Kita harapkan kerjasama dengan Ragbi Asia akan berterusan dalam siri penganjuran akan datang," katanya.

Sebanyak 50 pasukan mengesahkan penyertaan tahun ini melibatkan hampir 800 pemain dan pegawai yang akan berkampung di dua venue iaitu Stadium Ragbi Perak dan Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Seperti tahun 2022, kejohanan ini mengekalkan empat kategori yang akan dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka (15 pasukan), Wanita Terbuka (10 pasukan), Lelaki Bawah 20 Tahun (14 pasukan) dan Wanita Bawah 20 Tahun (11 pasukan).

Format kejohanan selama dua hari itu akan dijalankan dalam dua pusingan iaitu pusingan awal bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati untuk peringkat suku akhir ke atas.

Kejohanan itu juga bakal menyaksikan kehadiran pemain kebangsaan bagi mewakili negeri masing-masing. - Bernama