Buruh ladang ditemui maut dipercayai dibunuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga asing yang juga buruh ladang ditemukan mati dipercayai dibunuh, di sebuah ladang sawit di Merotai, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang berusia 33 tahun dijumpai dengan kesan tikaman di bahagian badan dan kepala serta dipercayai dibunuh kira-kira jam 11 pagi.

"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan di kawasan bandar Tawau pada 12 tengah malam semalam untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Jasmin berkata, tiga daripadanya kemudian dibebaskan manakala seorang suspek lelaki berusia 53 tahun direman tujuh hari bermula Khamis bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa dan tombak yang disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut. - Bernama