Vietnam bentang permaidani merah sambut ketibaan Anwar

Anwar diiringi rakan sejawatnya Minh Chinh memeriksa kawalan kehormat pada sambutan rasmi sempena lawatan dua hari ke Vietnam di Istana Presiden pada Khamis. 

- Foto: Bernama
Anwar diiringi rakan sejawatnya Minh Chinh memeriksa kawalan kehormat pada sambutan rasmi sempena lawatan dua hari ke Vietnam di Istana Presiden pada Khamis. 

- Foto: Bernama
A
A
A

HANOI - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi dengan hamparan permaidani merah oleh kerajaan Vietnam di Istana Presiden pada Khamis.

Ketibaan Anwar di Istana Presiden disambut oleh rakan sejawat beliau Pham Minh Chinh.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara iaitu Negaraku dan Tien Quan Ca dimainkan oleh pancaragam tentera sebelum Anwar memeriksa kawalan kehormat dengan diiringi oleh Chinh.

Chinh dan Anwar kemudian bertemu para kenamaan yang menyambut ketibaan mereka dan saling memperkenal pegawai masing-masing.

Kedua-dua pemimpin menghadiri sesi bergambar sebelum ke Government Office untuk mesyuarat dua hala.

Sejurus selepas mesyuarat dua hala, Anwar dan Chinh menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI).

NCCIM diwakili Presidennya, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai, manakala VCCI oleh Pengerusi merangkap Presidennya, Pham Tan Chong.

Pemimpin tertinggi kedua-dua negara turut menyaksikan Pertukaran Minit-Minit yang Dipersetujui hasil Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Ekonomi, Saintifik dan Kerjasama Teknologi (JCM-7) di antara Malaysia dengan Vietnam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menandatangani dokumen itu bagi pihak Malaysia manakala Vietnam diwakili rakan sejawatnya, Bui Thanh Son. - Bernama