Wanita perlu bangkit kecam kezaliman Israel: Muslimat Pas

Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Muslimat Pas menyeru kepada semua badan wanita dan kebajikan di seluruh dunia untuk bangkit mengecam tindakan zalim rejim Zionis Israel terhadap Palestin.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, tindakan zalim itu juga jelas melanggar Undang-undang Antarabangsa khususnya Konvensyen Geneva IV yang mewajibkan tentera bagi negara-negara pihak yang berperang untuk memastikan rakyat awam khususnya wanita dan kanak-kanak tidak menjadi mangsa korban kepada tindakan kekerasan ketenteraan.

“Muslimat Pas mengecam tindakan berterusan dan tidak bertamadun Israel yang dengan mudahnya mengambil nyawa kanak-kanak, wanita dan orang awam Palestin demi keselamatan dan kepentingan mereka.

“Justeru, kami menyeru agar semua badan wanita dan kebajikan di negara Arab khasnya untuk bangkit menyatakan pendirian serta bersatu menggunakan segala kemampuan harta dan pangkat demi membantu golongan rentan yang dizalimi di Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, atas dasar perpaduan dan tentangan kepada sebarang bentuk kezaliman, masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang dan agama perlu bersatu.

“Semua pihak perlu bangkit memberikan solidariti sehingga rejim Zionis Israel menghentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian serangan Israel meningkat 27 orang

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera Israel tembak mati wanita Palestin

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 27 orang.

Semalam, dua lagi mayat ditemui di bawah sisa runtuhan bangunan yang musnah sama sekali akibat dibedil jet Israel di utara Bandar Gaza.

Seorang bayi berusia 14 bulan dan ibu saudara bayi itu turut maut dalam serangan udara Israel di Gaza.
Seorang bayi berusia 14 bulan dan ibu saudara bayi itu turut maut dalam serangan udara Israel di Gaza.

Mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri, Talal Abu al-Jidian, 48, dan Raghda Mohammed Abu al-Jidian, 40.

Anak lelaki pasangan terbabit, Abdul Rahman al-Jidian, 12, turut terkorban dalam serangan itu dan mayatnya ditemui beberapa jam lebih awal.

Sementara itu, pihak berkuasa Gaza memaklumkan dua wanita sarat mengandung dan dua bayi turut menjadi mangsa serangan udara Israel sejak Jumaat lalu.

Tambahnya, lebih 150 orang lagi cedera.

Pada Januari lalu, rejim Zionis Israel telah menembak mati seorang wanita Palestin dan mencederakan 25 yang lain semasa protes di sepanjang pagar sempadan Gaza dan wilayah yang diduduki.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qedra berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Aml Moustafa Ahmed.

Wanita berusia 43 tahun itu ditembak semasa menyertai bantahan penaklukan rejim Zionis di timur Genting Gaza.