Kepimpinan Anwar terima persepsi positif rakyat Selangor - IDE

Mohammad Redzuan membentangkan hasil Kajian Persepsi Pengundi Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di IDE pada Khamis.
Mohammad Redzuan membentangkan hasil Kajian Persepsi Pengundi Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di IDE pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Darul Ehsan (IDE) mendedahkan sebanyak 73.4 peratus pengundi di Selangor menunjukkan persepsi positif terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil peratusan itu diperoleh berdasarkan Kajian Persepsi Pengundi Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijalankan selama tiga hari pada 12 hingga 15 Mei lalu dengan jumlah responden seramai 1,693 orang.

“Peratusan itu agak tinggi dan ini bermakna, beliau (Anwar) telah berjaya mendekati rakyat sepanjang tempoh pemerintahan selama lapan bulan ini.

“Perkara ini berlaku kerana Selangor mempunyai kelebihan tersendiri iaitu geografi yang hampir dengan Putrajaya. Anwar boleh hadir ke program di negeri ini tanpa mengira waktu dan pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika pembentangan kajian di ibu pejabat IDE, pada Khamis.

Bukan itu sahaja, Mohammad Redzuan memaklumkan bahawa Selangor merupakan negeri yang paling banyak mengadakan program terutama melibatkan universiti.

Katanya, keterlibatan Ahli Parlimen Tambun dalam menghadiri program-program bersama rakyat antara faktor beliau menerima sokongan yang tinggi jika mahu dibandingkan dengan Pulau Pinang.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan turut mendedahkan sebanyak 68.6 peratus memberi sokongan terhadap pentadbiran Anwar di Selangor.

“Sebelum ini, saya pernah menjalankan kajian terhadap populariti Anwar sejak dari tahun 1999 dan boleh dikatakan beliau hanya memperoleh nilai dua atau tiga. Nak capai empat mata pun susah disebabkan dahulu beliau pembangkang.

“Bagaimanapun, semua telah berubah, daripada jumlah mata keseluruhan (10), beliau kini memperoleh nilai sebanyak tujuh atau lapan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, antara faktor lain yang menyumbang kepada sokongan itu adalah penyokong UMNO.

Mohammad Redzuan berkata, apabila Anwar menjelaskan peranan beliau sebagai antara individu yang tidak membenarkan parti UMNO diharamkan, ia memberi impak besar kepada penyokong parti itu.

“Penyokong UMNO merupakan kelompok yang begitu menyayangi parti mereka. Jadi dengan kempen yang dibawa oleh Anwar, ia secara tidak langsung menghilangkan sifat keraguan ahli terhadapnya,” jelas beliau.