PM Anwar, isteri tiba di Hanoi lawatan rasmi ke Vietnam

Anwar dan isteri, Wan Azizah disambut Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam yang juga Menteri Pengiring, Nguyen Van Hung dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli. - Foto Bernama
Anwar dan isteri, Wan Azizah disambut Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam yang juga Menteri Pengiring, Nguyen Van Hung dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli. - Foto Bernama
A
A
A

HANOI - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari ke Vietnam atas jemputan rakan sejawatnya Pham Minh Chinh.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di sini pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan).

Sebaik tiba, Anwar dan isteri disambut Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam yang juga Menteri Pengiring Nguyen Van Hung dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Turut hadir untuk menyambut Perdana Menteri dan isteri di lapangan terbang itu, Ketua Setiausaha Kementeian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar dijadual diberikan sambutan rasmi oleh Chinh di Istana Presiden sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat bilateral di Government Office.

Selepas mesyuarat bilateral tersebut Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI).

Perdana Menteri serta rakan sejawatnya juga akan menyaksikan majlis menandatangani pengesahan dokumen minit hasil Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Ekonomi, Saintifik dan Kerjasama Teknologi (JJCM-7) antara Malaysia dengan Vietnam.

Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV) Ngunyen Phu Trong di ibu pejabat CPV, petang Khamis.

Anwar juga akan menghadiri jamuan makan malam rasmi dihoskan Chinh di Government Office.

Pada Jumaat Anwar dijadualkan akan menghadiri forum Perniagaan Malaysia-Vietnam sebelum ke Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Hanoi.

Anwar juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat dengan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vong Dinh Hue di Bangunan Dewan Rakyat, sebelum ke Book Street di Dinh Le Street di mana beliau dan rakan sejawat akan betukar-tukar buku, sebelum menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Al Noor.

Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat dengan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong di Istana Presiden, diikuti sidang akhbar bersama media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Vietnam merupakan negara ASEAN kelapan dikunjungi Anwar, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, November tahun lepas. - Bernama