Sempat berpesan kematian di ceramah Maal Hijrah sebelum ajal

Tangkap layar video memaparkan Allahyarham Mustafa sedang memberi ceramah subuh sempena Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa, Taman Pulai Perdana, Johor Bahru pada Rabu
Tangkap layar video memaparkan Allahyarham Mustafa sedang memberi ceramah subuh sempena Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa, Taman Pulai Perdana, Johor Bahru pada Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mustafa Omar meninggal dunia selepas selesai memberi ceramah subuh di Masjid At-Taqwa Taman Utama Pulai di sini pada Rabu.

Pengarah JAINJ, Jamaludin A Hamid berkata, difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah akibat sesak nafas.

Menurutnya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar.

"Allahyarham seorang yang baik keperibadiannya, masuk kerja sama dengan saya lebih kurang tahun 1997 iaitu 26 tahun berkhidmat.

"Beliau seorang yang berilmu dan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal lebih kurang enam tahun, beliau mahir dalam bidangnya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Allahyarham sempat menyelesaikan tugas memberi ceramah subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di masjid berkenaan yang disiarkan secara langsung dalam Facebook masjid itu.

Pada akhir ceramahnya, Allahyarham sempat berpesan tentang kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku.

Katanya, manusia tidak perlu berbangga dengan harta yang dikumpul, sebaliknya meningkatkan amal ibadah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH Taala.