Suami dalang utama rompak isteri untuk tuntut insurans

Tangkap layar video kes rompakan bersenjata di Karak yang tular di laman sosial. - Foto PDRM
Tangkap layar video kes rompakan bersenjata di Karak yang tular di laman sosial. - Foto PDRM
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki ditahan disyaki menjadi dalang utama kes rompakan bersenjata terhadap isterinya sendiri semata-mata untuk membuat tuntutan insurans palsu di Taman Hijau dekat Karak di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga isteri lelaki itu pada jam 3.20 petang.

Menurutnya, mangsa berusia 42 tahun didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai topeng bertindak mengacukan parang lalu menggeledah rumahnya.

"Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Alza berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah terbabit selain turut membawa lari barang kemas dan kesemua kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, ketika kejadian mangsa yang merupakan suri rumah tinggal bersendirian sementara ibu, anak, dan suaminya pergi ke rumah saudara mereka.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan lelaki warga asing berusia 24 tahun di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 9.30 malam.

"Serbuan itu berjaya merampas kenderaan digunakan semasa kejadian dan semakan mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai rekod lampau membabitkan kes rompak," katanya.

Tambah beliau, hasil soal siasat juga mendapati suami mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki bersubahat dalam kejadian rompakan itu.

"Suami mangsa turut ditahan dan kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata," katanya.