SIC jalankan siasatan menyeluruh kekecohan semasa hari litar

Litar Antarabangsa Sepang - Gambar fail
Litar Antarabangsa Sepang - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kekecohan yang dilaporkan berlaku semasa penganjuran hari litar persendirian, minggu lepas.

SIC dalam kenyataan berkata, pengendali litar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, penganjur acara dan pasukan keselamatan untuk mengumpul maklumat yang diperlukan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.

SIC kesal dengan kejadian malang itu hingga menyebabkan kekecohan yang berlaku di litar mereka.

"Kami memandang serius perkara ini dan komited untuk menegakkan standard tatakelakuan, keselamatan dan penghormatan tertinggi untuk semua pengunjung.

"SIC komited untuk menjadi tempat yang mendukung standard tertinggi profesionalisme, integriti dan semangat kesukanan.

Kami tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkah laku yang menjejaskan semangat dan nilai positif di tempat kami,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan SIC mengutamakan kesejahteraan dan kepuasan pelanggannya, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui keadaan sebenar.

SIC juga menggalakkan peserta untuk melaporkan sebarang insiden dengan segera kepada kakitangan mereka di lokasi atau melalui saluran rasminya.

Difahamkan, ada dalam kalangan peserta cuba merosakkan harta benda SIC selepas berlaku pertengkaran yang disebabkan oleh transponder (alat komunikasi) yang disewa oleh penganjur daripada pihak ketiga, tidak berfungsi dengan baik. - Bernama