Tiga individu ditemukan maut dalam kereta di R&R Yong Peng

Dua lelaki dan seorang wanita ditemui maut dalam sebuah kereta di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Yong Peng, Batu Pahat, pada malam Selasa.
Dua lelaki dan seorang wanita ditemui maut dalam sebuah kereta di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Yong Peng, Batu Pahat, pada malam Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Tiga individu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Yong Peng, arah selatan dekat sini pada Selasa.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pihak polis menerima maklumat berhubung perkara berkenaan daripada orang awam sekitar jam 9.15 malam.

"Hasil siasatan mendapati kesemua mangsa merupakan warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 23 hingga 27 tahun dan siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang menggunakan kenderaan dipinjam daripada seorang rakan di Johor Bahru.

“Mereka dipercayai berhenti rehat dan tidur dalam kereta berkenaan di tempat kejadian. Beberapa saksi yang datang membantu mangsa memaklumkan, mereka menyedari kereta berkenaan diletakkan dalam tempoh masa agak lama di tempat kejadian dengan penyaman udara dihidupkan dan kesemua cermin serta pintu berkunci.

“Mereka (orang awam) terpaksa memecahkan cermin tingkap kenderaan tersebut dan mendapati kesemua mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya.

Hasil pemeriksaan, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut serta proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Mereka yang terperangkap dikeluarkan oleh orang awam yang bertindak memecahkan cermin kenderaan berkenaan sebelum itu.
Mereka yang terperangkap dikeluarkan oleh orang awam yang bertindak memecahkan cermin kenderaan berkenaan sebelum itu.

Bagaimanapun, siasatan awal polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata, mangsa terdiri daripada lelaki berusia 23 dan 25 tahun serta seorang wanita berusia 27 tahun.

Jelasnya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

"Mangsa dikeluarkan oleh orang awam yang bertindak memecahkan cermin kenderaan berkenaan sebelum itu.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.59 malam tadi (Selasa) sebelum enam anggota bomba dan satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian pihak bomba dapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam. Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Beliau berkata, semua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan operasi tersebut selesai pada jam 11.22 malam Selasa.