PM mahu Malaysia dipertahankan daripada anasir perkauman

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia dipertahankan daripada anasir perkauman yang memecah-belah.

Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah yang dikongsi di laman Facebook dan Twitternya, Perdana Menteri berkata, keamanan dan kestabilan kini menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat terbela.

Sementara katanya, sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara, walau seinci pun tidak sesekali akan dibiarkan.

"Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.

Berhijrah daripada kemungkaran kepada kebaikan, daripada kebejatan rasuah kepada amanah, daripada ketaksuban kepada minda yang merdeka, dan daripada perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat),” katanya.

Mengimbau sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam mendirikan kota Madinah, Anwar berkata, Rasulullah meletakkan asas tatacara dan tatakelola sistem pemerintahan Islam dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai dan prinsip.

Beliau berkata, daripada didikan kerohanian itu, maka terbitnya dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua.

"Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman. Pakatan para Muhajirin bersama Ansar, dan sebelumnya bersama Raja Ashamah, pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.

Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu. Demikianlah hijrah Rasul dan para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman,” katanya.

Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H bertemakan "Perpaduan Teras Malaysia MADANI” akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini esok. - Bernama