PRN: Saya sedia wakili UMNO bila-bila masa - Mohd Salim

Mohd Salim
Mohd Salim
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif bersedia bertanding mewakili UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang pada pilihan raya negeri (PRN) ini sekiranya penggantungan keahliannya ditarik balik.

Bagaimanapun katanya, keputusan rayuannya masih belum diterima.

"Saya kalau mewakili UMNO bila-bila masa sahaja bersedia sebab kawasan itu (Jeram Padang) memang saya jaga termasuklah ketika menjadi ahli Parlimen.

"Tapi saya masih menunggu keputusan rayuan dari parti yang saya difahamkan permohonan itu telah diterima tetapi proses kelulusan belum dimuktamadkan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai terdapat desas-desus namanya menjadi calon di DUN berkenaan.

Kerusi DUN Jeram padang sebelum ini dikatakan kubu kuat MIC, namun parti komponen BN itu mengumumkan untuk tidak bertanding pada PRN ini dan UMNO pula menyatakan bersedia menghantar calon untuk bertanding di situ.

Selain itu kata Mohd Salim, pengundi di kawasan itu juga tanpa mengira kaum dan bangsa boleh dikatakan mengenalinya.

Bagaimanapun katanya, ia terserah kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan dan paling diharapkannya ketika ini ialah bebas daripada penggantungan.

Mohd Salim antara empat yang diumumkan digantung selama enam tahun sebagai ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.