Agong berkenan saksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023

Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan bergambar bersama Pegawai Memerintah Rejimen Kedua Kor Armor Diraja Leftenan Kolonel Maslan Ukkas (dua dari kanan) di hadapan kenderaan perisai AV8 Gempita (AMC)-30mm CAM Gun selepas menyaksikan pertunjukan Latihan Kuasa Tembakan 2023 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin pada Selasa. - Foto: Bernama

A
A
A

GEMAS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2023 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin dekat sini pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sebanyak 40 unit melibatkan 2,660 pegawai dan anggota terbabit dalam latihan itu bersama 106 aset dan persenjataan, termasuk Perisai Pendekar PT-91M, AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan dan pesawat Helicopter Super Lynx serta AS555 Fennec.

LKT itu antara lain bertujuan memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan.

Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) berkenan beramah mesra bersama anggota ATM selepas menyaksikan pertunjukan Latihan Kuasa Tembakan 2023 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin pada Selasa. - Foto: Bernama

Sebelum itu, Mohammad dalam ucapannya berkata, latihan tahun ini bermatlamat untuk membangunkan tentera Malaysia menjadi sebuah angkatan yang mempunyai kesediaan optimum, memastikan kemantapan organisasi dan keupayaan untuk memanfaatkan rangkaian penuh keupayaan serta kuasa tempur untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara.

"Usaha ini selaras dengan keperluan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, yang menekankan pembangunan progresif keupayaan pertahanan kita sebagai tindak balas kepada tuntutan keselamatan kontemporari.

"Tambahan pula, ia melengkapkan pelan strategik Kementerian Pertahanan, khususnya teras pertama, yang menggariskan kepentingan untuk dipersiapkan dan mampu mempertahankan negara dalam semua keadaan,” kata Panglima Tentera Darat itu.

Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar penerangan daripada seorang pegawai tentera mengenai meriam jenis 105mm LG1 MK III selepas menyaksikan pertunjukan Latihan Kuasa Tembakan 2023 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin pada Selasa. - Foto: Bernama

Dalam hal itu, Mohammad berkata, latihan berkenaan telah disusun untuk meningkatkan kemahiran berperang dengan cekap dan berkesan selain menggambarkan senario taktikal yang melibatkan pengunaan gabungan bahagian senjata dalam operasi serangan sebagai sebahagian daripada persediaan bersama pasukan petugas. - Bernama