Remaja aktif simbah cat merah diberkas polis

Antara barang dan pakaian dirampas polis selepas menahan seorang remaja yang terlibat kegiatan menyimbah cat merah di rumah dan kenderaan sekitar Bandar Raya Johor Bahru.
Antara barang dan pakaian dirampas polis selepas menahan seorang remaja yang terlibat kegiatan menyimbah cat merah di rumah dan kenderaan sekitar Bandar Raya Johor Bahru.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang remaja yang aktif dalam kegiatan menyimbah cat merah di rumah dan kenderaan milik mangsa along di sekitar bandar raya ini ditahan polis pada awal pagi Isnin.



Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki tempatan berusia 19 tahun itu ditahan di sebuah premis di Taman Ehsan Jaya di sini dalam satu serbuan jam 2 pagi.

"Penahanan suspek dibuat selepas menerima laporan polis dari seorang lelaki berumur 48 tahun berkaitan kejadian simbah cat merah di pintu pagar rumah dan dua keretanya di kawasan perumahan Taman Desa Jaya jam 10.30 pagi kelmarin.

"Semasa serbuan remaja itu ditahan bersama barang rampasan sebuah motosikal, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, dua tong bekas cat merah, sehelai baju, seluar, selipar dan bag berwarna hitam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.



Beliau berkata, hasil tangkapan itu pihak polis dapat menyelesaikan lima kes jenayah lain melibatkan kes simbah cat berwarna merah.

Jelasnya, hasil semakan suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.

Menurut Raub, suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula Isnin hingga Rabu.

Tambah beliau, Klkes disiasat dibawah seksyen 427 kanun keseksaan.