Dua pegawai polis cedera ditetak

Sepasukan anggota polis cuba memujuk suspek yang bertindak menguncikan diri bersama ibunya dalam kejadian di Taman Jaya Manggatal Kota Kinabalu. Gambar kecil: Mohd Zaidi
Sepasukan anggota polis cuba memujuk suspek yang bertindak menguncikan diri bersama ibunya dalam kejadian di Taman Jaya Manggatal Kota Kinabalu. Gambar kecil: Mohd Zaidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua pegawai polis cedera ditetak oleh seorang lelaki disyaki kurang siuman dalam kejadian di kediamannya di Taman Jaya Manggatal pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kedua-duanya cedera pada bahagian lengan, kepala dan bahu akibat ditetak suspek yang berusia 42 tahun menggunakan pisau pemotong daging.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, aduan diterima daripada orang ramai mengenai seorang lelaki mengamuk di rumahnya.

"Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging telah mengurung ibu dan kakaknya di dalam bilik selain turut mengasari kakaknya.

"Bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota termasuk dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek telah dipujuk untuk menyerahkan diri namun enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya.

"Selepas itu suspek bertindak menguncikan diri bersama ibunya di dalam bilik tidur.

"Selepas usaha memujuk suspek selama hampir dua jam gagal dan tiada tanda suspek mahu bekerjasama untuk menyerahkan diri, pihak polis bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, pasukan polis kemudian bertindak menyerbu masuk bilik berkenaan dan berjaya menyelamatkan ibu suspek.

"Bagaimanapun, dalam kejadian itu suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.

"Suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat Sarjan sehingga menyebabkan kedua-duanya cedera manakala suspek hanya cedera ringan di bahagian muka dan ibunya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuataan cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pennara sehingga 20 tahun.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang," katanya.