Vida serius mahu miliki TRW, berhasrat jumpa TMJ tuntut ilmu

Vida serius mahu memiliki Kelantan FC dan sanggup bertemu TMJ untuk menuntut ilmu mengenai pengurusan bola sepak.
Vida serius mahu memiliki Kelantan FC dan sanggup bertemu TMJ untuk menuntut ilmu mengenai pengurusan bola sepak.
A
A
A

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida serius untuk memiliki Kelantan FC apabila mahu bertemu pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Vida mendedahkan pertemuan itu bagi mendapatkan segala ilmu berkaitan dengan pengurusan bola sepak bagi memastikan Kelantan FC kembali digeruni dalam saingan Liga Malaysia selepas ini.

"Menjadi penaja dan pemilik adalah perkara berbeza. Sebagai persiapan, saya perlu mendapatkan seberapa banyak ilmu bagi melancarkan lagi pengurusan jika mengambil alih pasukan (Kelantan FC).

"Besar harapan saya agar Tuanku dapat menerima hasrat ini. Pembaharuan dan nafas baharu yang disuntik oleh Tuanku dalam arena bola sepak Kelantan wajar dijadikan sebagai panduan oleh saya sebagai orang baharu," katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, ilmu pengurusan bola sepak yang betul perlu dimiliki jika mahu terus bertahan dalam menguruskan pasukan.

Ujarnya, beliau tidak mahu sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' dalam memulihkan semula Kelantan FC.

Anak kelahiran Tanah Merah itu berkata, beliau akan turun ke Johor Baharu untuk menyaksikan final Piala FA antara JDT dengan Kuala Lumpur City, pada 22 Julai ini.

Beliau akan melihat dan melawat segala fasiliti yang ada di stadium berkenaan.

"Keputusan untuk menjadi pemilik Kelantan FC masih kekal dan segala rundingan masih lagi berjalan," katanya.